Friday, December 31, 2010

Candid itu Cun Lah!

Thanx k.Faziha sebab tag saye pasal 'candid contest' anjuran Cik Dilla..
aku ni tak penah join contest..so..ni adelah julung-julung kalinya aku menjoinkan diri dalam aktibiti contest mengontest ni..harap-haraplah ada luck..huhu..


Ni la contestnya..




Cik Dilla kata nak gambar candid bukan gambar yang tersipu-sipu malu..(aha..ada ker?? jap aku selongkar lemari gambo ku yang da lame bersawang..huhu)
-
-
-
isyh..mana nih???
-
-
-
jeng..jeng..Jumpa sudah..!!!!! horeyyy..:)





serius..memang gelak giila-gila bila tengok gambo ni..
yang lain-lain steady je..aku sorang je yg x smpat nak menyantunkan diri..haha (gelak pon sumbang) haih..
dorang yang tengok gambo ni pon gelak skan (ehh..bukan..gelak jaat)..sampai ati u olls..
pape pon.miss time nih..♥♥♥



Untuk memenuhi syarat2 contest nih..
saya kena mengetag owang lain untuk menjoin contest ini bersama..






SIAP SUDAH
-sekian TQ-



Thursday, December 16, 2010

menangislah~~


Assalamu'alaikum...

Kata Ibnu Qayyim - 10 Jenis Tangisan:
· Menangis kerana terlalu sedih.
· Menangis kerana terasa hina dan lemah
· Menangis untuk mendapat belas kasihan orang
· Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis
· Menangis orang munafik - pura-pura menangis
· Menangis kerana kasih sayang & kelembutan hati
· Menangis kerana rasa takut
· Menangis kerana cinta
· Menangis kerana gembira
· Menangis kerana menghadapi penderitaan.

"..Dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis." (AnNajm : 43)
Jadi, Allah lah yang menciptakan ketawa dan tangisan, serta menciptakan sebab tercetusnya. Banyak air mata telah mengalir di dunia ini. Sumbernya dari mata mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi. Mata itu kecil, namun ia tidak pernah kering, ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Sepertilah sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti? Jika air mata itu ditampung banjirlah dunia ini.
Menangis tercela atau terpuji??? Ada tangisan yang sangat dicela umpamanya meratapi mayat dengan meraung dan memukul-mukul dada atau merobek-robek pakaian. Ada pula tangisan sangat-sangat dipuji dan dituntut iaitu tangisan kerana menginsafi dosa-dosa yang silam atau tangis kerana takut akan azab dan siksa Allah.
Tangisan dapat memadamkan api neraka. Rasulullah saw bersabda: Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tidak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka."
Air mata taubat Nabi Adam a.s Beliau menangis selama 300 tahun tanpa mendongak ke langit kerana tersangat takut dan hibanya terhadap dosa yang telah ia lakukan. Dia bersujud di atas gunung dan air matanya mengalir. Dari air matanya itulah Allah telah menumbuhkan pohon kayu manis dan pohon bunga cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum akan air mata Adam lalu berkata, "Manis sungguh air ini." Nabi Adam terdengar lalu menyangka burung itu mempersendakannya, lalu ia memperhebatkan tangisannya. Lalu Allah mendengar dan menerima taubat Adam dan mewahyukan, "Hai Adam sesungguhnya belum saya pernah menciptakan air lebih lazat daripada air mata taubat mu!."

Air mata yang tiada di tuntut:
· Janganlah menangis kalau tidak tercapai cita-cita. Bukankah Tuhan yang telah menentukannya.
· Janganlah menangis kerana cinta tidak berbalas, mungkin dia bukanlah jodoh yang telah Tuhan tetapkan.
· Janganlah menangis jika gagal dalam peperiksaan mungkin kita kurang membuat persediaan.
· Jangan menangis kalau wang kita hilang di jalanan sebab mungkin kita kurang bersedekah buat amalan.

Dari itu...?
Simpanlah air mata-air mata tangisan itu semua buat bekalan untuk menginsafi di atas segala kecuaian yang telah melanda diri, segala dosa-dosa yang berupa bintik2 hitam yang telah mengkelamkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah S.W.T.
Serulah air mata itu dari persembunyiannya di balik kelopak mata agar ia menitis membasahi dan mencuci hati agar ia putih kembali dan juga semoga ia dapat melebur dosa2 dan moga-moga akan mendapat ampunanNya jua.

Sekian..:)

Wednesday, December 15, 2010

Surah Yasin


السلام عليكم


FADHILAT SURAH YASIN




At-Tirmizi mengikhraj hadis dari Anas RA dari Nabi SAW, beliau bersabda:

"Sungguh bagi tiap sesuatu adalah jantung sedang jantung al-Quran adalah surah Yasin; maka Allah mencatat untuknya sebab bacaan surah Yasin tersebut senilai bacaan al-Quran sepuluh kali."

Nabi Muhammad SAW bersabda:

"Barangsiapa mengamalkan bacaan surah Yasin setiap malam lalu ia meninggal maka ia mati Syahid."

"Barangsiapa membaca surah Yasin pada malam hari maka di pagi hari ia terampun dosanya."

"Siapa saja, orang muslim, tatkala akan meninggal di bacakan surah Yasin maka turunlah untuk setiap satu huruf sepuluh malaikat; mereka berdiri berbaris di hadratnya memohonkan rahmat dan keampunan untuknya, pula menyaksikan di mandikan jenazah, menghantarnya, mennyembahyangkannya juga ikut hadir di dalam pemakamnya".

Dan siapa sahaja, orang islam, membaca surah Yasin ketika sakratulmaut tidak hendak mengambil rohnya sehingga kehadiran Malaikat Ridwan dengan membawa seteguk minuman Syurga dan di minumkan kepadanya di atas pembaringannya dan dirasakan kesegarannya ketika di ambil nyawanya juga kesegaran kelak di dalam kubur dan ia tidak memerlukan telaga para nabi, hingga masuk Syurga ia selalu merasakan kesegaran."

Dari Yahya ibn Katsir, katanya: "Samapi kepada bahawa sesiapa membaca surah Yasin di waktu pagi hari maka ia selalu di dalam kegembiran hingga petang hari dan siapa membacanya diwaktu petang hari maka ia selalu dalam kegembiraan hingga pagi hari."

Dengan isnad sahih diriwayatkan dari Au akar dan Ibnu Abbas RA maksudnya" Barangsiapa membaca surah Yasin, sampai pada ayat "Iz JAA aHal mursaluun" berdoa memohon kepada Allah, maka dikabulkan permohonannya.



Surah Yasin - Pengertian Setiap Ayat


Ø Ayat 1-9 - Untuk keselamatan diri.

Ø Ayat 9 - Orang jahat tak nampak kita terutamanya orang kafir.

Ø Ayat 12 - Merupakan Jantung Yaasiin - Rasulullah s.a.w. berharap ayat ini dihafal oleh setiap mukmin dan mukminat.

Ø Ayat 13-35 - Mengisahkan orang-orang yang mati syahid.

Ø Ayat 22-23 - Untuk menjaga aqidah Memberi hidayah kepada anak.

Ø Ayat 29 - Sebagai amalan untuk mengelakkan diri dari di fitnah dan kejahatan mulut.

Ø Ayat 29 - Utk digunakan jika kita rasa orang nak fitnah atau aniaya kita. Lebih elok selepas baca di semburkan ke muka orang tersebut.

Ø Ayat 30 - Untuk keinsafan-Supaya dapat dipertemukan dengan Allah s.w.t. (harus sentiasa berada dihati - beramal dengannya).

Ø Ayat 32 - Untuk menginsafkan orang lain supaya menjadi baik...
Caranya : Ingat yang segalanya datang dari Allah s.w.t, Kita umat Muhammad, Kita orang Islam & lain lain.

Ø Ayat 33-35 - Elok dijadikan amalan bagi sesiapa yang suka bercucuk tanam. Tanaman akan subur.

Ø Ayat 36 - Menerangkan yang kehidupan ataupun kejadian di dunia ini dijadikan berpasang-pasangan. Ayat ini elok diamalkan bagi sesiapa yang belum berkahwin supaya di pertemukan jodoh. 
Caranya: Baca dan berdoa, hembus dan sapu pada muka setiap pagi sebelum keluar rumah.

Ø Ayat 37 - Adalah untuk menetapkan hati-aqidah diri sendiri... Hati yang kering akan hidup semula.

Ø Ayat 38 - Mengisahkan yang bulan dan matahari pun sujud pada Allah s.w.t. yang satu.

Ø Ayat 39 - Mengisahkan ilmu falak.

Ø Ayat 40 - Merupakan kenyataan Allah s.w.t. yang satu.

Ø Ayat 41 - Mengisahkan Nabi Nuh a.s. menaiki kapal. Elok dibaca sewaktu menaiki kenderaan.

Ø Ayat 44 - Mengisahkan keseronokan hidup di dunia - Dibaca untuk dijauhkan fitnah dalam hidup.

Ø Ayat 45-48 - Merupakan kedegilan orang kafir kepada Allah s.w.t.

Ø Ayat 49 - Menceritakan hari akhirat dan kehidupannya.

               Tiupan pertama - Datang dengan tiba-tiba
               Tiupan kedua - Hancur
               Tiupan ketiga - Semua orang di hidupkan semula dan hadir di padang Mahsyar.

Ø Ayat 50 - Setiap orang akan dihisab mengikut amalannya.

Ø Ayat 58 - Merupakan salam daripada Allah. Jika rasa sakit kepala, baca dan sapukan ke kepala. Ulang sebanyak 3x.

Ø Ayat 76 - Dibaca untuk mententeramkan diri dari fitnah orang. Dijadikan amalan.

Ø Ayat 76 - Jika hati rasa sedih, sebak atau pun kecewa. Sambil pegang dan urut dada, bacalah ayat tersebut.

Ø Ayat 78-79 - Dikhaskan untuk sakit urat, tulang dan badan. 
Untuk doa bermula daripada Ayat yang bermaksud: "dia berkata, Siapakah (yang dapat) menghidupkan tulang belulang padahal telah hancur?"(Ayat 78 dan 79)-Bacalah jika sakit tulang, urat atau tulang patah. Doktor di hospital pun tanya dia utk rawatan patient mereka dan Dr Fatimah berikan ayat ini.

Ø Ayat 79 - Katakanlah, Yang akan menghidupkannya ialah yang menciptakannya pertama kali. Dan Dia Maha Mengetahui tentang segala makhluk.

Ø Ayat 82 - Untuk Hajat-Jika berhajat sesuatu, bacalah 100x.
 Dibaca pada air dan minum selama 40 hari-boleh menjadi penawar. Jika air habis ulang bacaan tsbt sehingga 40 hari. Caranya: Sembahyang Tahajjud (3x) berturut-turut, Baca pada air [100x] Dan berdoa apa sahaja hajat.

Wallahualam.

1. Selepas sembahyang subuh
2. 3 pagi Jumaat berturut-turut
3. Ayat 1 - Yassin baca 7x
4. Ayat 38 - 12x
5. Ayat 58 - 7x
6. Ayat 82 - 14x
7. Habis , diulang semula step 3 hingga 6. Kesemuanya Surah Yassin dibaca sebanyak 3x.
8. Habis baca surah Yassin , baca Al- Fatihah , bacalah hajat yg dihajati dan selepas hajat dibaca semula Al-Fatihah.
9. Perlu yakin, insya-Allah dgn berkat Allah ianya termakbul.


Perlu Baca Dengan Penuh Keyakinan:

Ø Yasin adalah jantung  Al-Quran
Ø ketahuilah makna-makna ayat-ayat di dalam Al-Quran
Ø Yasin memudahkan yang susah. sebagai contoh, bacalah Yasin jika:

            o anak sakit
            o dilanda kesusahan
            o Memudahkan urusan
            o Memudahkan perjalanan
            o memudahkan proses kelahiran
Ø BacalahYasin (3x) pada air
Ø Bacalah 3 Qul (3x)
Ø Fatihah
Ø Baca Yasin sebelum tidur, seperti khatam Quran (10x)
ØJika baca Yasin sebelum tidur serta faham maksudnya sekali, sekiranya mati dalam tidur, dosa diampunkan.


Ayat 9 - "Waja'alna...."
Ø Lindungi rumah dari pencuri - baca dan tiup di tiap-tiap penjuru rumah..
Ø Lindungi diri dari dianiaya
Ø Bagi perlindungan diri dan rumah semasa tidur
Ø Baca Ayat 9
Ø Fatihah
Ø Read 3 Qul (3x) 
Ø Ayat Kursi

Ayat 29 - "In kanat illa....."
Ø Untuk mendiamkan orang yang selalu melempar kata-kata buruk/tidak menyenangkan kepada anda.


Ayat 36 - "subhanallazi.."
Ø Untuk cari jodoh * Tiup 7 kali dalam tangan dan sapu ke muka pada pagi hari
Ø Ya Wadud (3x)


Ayat 58 - "Salamun..."
Ø Jika sakit anggota
Ø Tak tenang hati
Ø Baca (7 x) dan gosok pada tempat sakit


Ayat 76 - "Falayahzun.."
Ø Bila rasa sedih
Ø Untuk menenangkan hati
Ø Gosok jantung sambil baca


Ayat 78 - 79 "dari Yuhyil Wahiya..."
Ø Tulang patah
Ø Sakit sendi
Ø Sakit lutut


Ayat 82 - "Innama amruhu.."
Ø Jika mandul
Ø Untuk mengubati kanser atau ketumbuhan dalam badan


Dry method
o Sembahyang tahajud
o Sembahyang hajat
o Doa minta hajat
o Baca ayat 100 x dengan yakin
o Amalkan 41 malam Wet method (untuk menyembuh penyakit dalam badan)
o Seperti di atas
o Bila baca ayat, tiup dalam air
o Minum 1 cawan air pada pagi hari sebelum makan / minum benda lain
o Doa sambil minum
o Untuk 41 pagi
Yang penting sesuatu itu yang hendak kita lakukan dengan yakin dan ikhlas melakukannya.

Dalam YASSIN merangkumi:
Ø Ilmu Pertanian
Ø Ilmu Falak
Ø Ilmu Laut
Ø Ilmu Kiamat
Ø Ilmu Ciptaan Manusia
Ø Ilmu Binatang
Ø Ilmu Kenabian



Wallahualam.
Semuga kita semua mendapat manfaat dari pembacaan ini.

Monday, December 13, 2010

orang selalu kata..

Orang selalu kata, "tak kenal, maka tak cinta". Cinta??? bila dah kenal..terjatuh cinta la pulak..payah betul..
Orang selalu kata, "cinta itu buta dan bisa membutakan". Aku rasa akulah orang buta itu. Buta dalam menilai erti cinta. Mungkin juga aku dibutakan oleh rasa cinta.

Monday, December 06, 2010

sad story


Mase membelek-belek email yang dah lama terkepam kat dalam inbox..terbaca email yg Adyl bg (thnx der..rajin bg email kat saye)..bile da abis baca...warggghhhh...menitis air mata..sedihnya..korang bace la ea..~~



Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini.
"Tapi pak cik kena bayar segera bahagian makcik yang masih tak cukup tiga ribu lagi tu.  Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat,"beritahu pegawai itu lagi.

"Insya Allah encik.  Saya akan bayar seberapa segera," janji Pak Uwei.  Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya.

Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji dia terus balik ke rumah.

"Pah... oo..Pah!" teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya.

"Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?" tanya Mak Pah.

" Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan tertunai.  Insya Allah dua bulan lagi kita akan ke sana.Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai, " cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri.

"Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai."

"Betullah Pah oii... saya ni baru je balik dari pejabat Tabung Haji.  Cuma duit bahagian awak tu, tiga ribu lagi kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan."

"Mana kita nak cari duit banyak tu bang?  Tiga ribu tu bukan sikit, itu pun lepas duit tambang.  Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu." Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.

 "Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri.  Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja."   Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak- anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya.

"Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik boleh kita berunding," cadang Pak Uwei.

"Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu.  Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti nak ke Mekah minta duit anak-anak." Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei.

"Pah... Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni." Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada
anaknya.

"Tapi bang?... "

"Dahlah... pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala.

Saya nak telefon budak-budak tu," pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya.  Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya.  Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.

"Insya Allah Kis balik nanti abah. Emm... abah nak Kis suruh Intan balik sama?" tanya Balkis.

"Ikut suka kaulah, bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya?... ," balas Pak Uwei.

Bukannya dia membeza-bezakan anak-anak tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan dengan Intan.  Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia tersangat geram.  Sudahlah malas belajar tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah.  Kalau ditegur
sepatah, sepuluh patah tidak menjawab tidak sah.  Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang mereka bertengkar besar tiga tahun lalu.  Kini hubungan mereka seperti orang asing.

"Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu.  Abah mahu kau sambung belajar lagi." Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang.

"Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang.  Kerja kilang pun bukannya haram." bantah Intan menaikkan darah Pak uwei.

"Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?"

"Itulah abah, selalu nampak yang buruk aje.  Bukan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat abah.  Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya, hati.  Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh, abah."  Intan cuba membuat abahnya faham.

"Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau.   Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap abah macam kau ni!"

"Intan memang tak sama dengan Kak Balkis abah, Intan suka berterus terang, kalau tak kena Intan cakap depan-depan bukan membebel kat belakang," balas Intan selamba menyemarakkan lagi bara dalam dada abahnya.

 "Anak tak mendengar kata!!, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi... aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke?, telangkup ke?, gasak kaulah. Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!!"

Sejak kejadian itu, Pak Uwei memang tidak memperdulikan langsung apa yang Intan nak buat.  Namun begitu Intan tetap pulang setiap kali cuti, dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak memperdulikannya.  Intan selalu menghulur duit tapi hanya kepada maknya sahaja. 

Riang hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya.  Malam itu selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isya`, mereka duduk berborak di ruang tamu.

"Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni, ada hajat sikit," Pak Uwei memulakan bicara.

"Hajat apa pula abah?" tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.

"Abah dan mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian mak kau masih belum cukup lagi abah nak minta Kau dan Balkis bantu sikit.  Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah," Pak Uwei mengutarakan
hasratnya.

"Boleh tu boleh abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru aje keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan," ujar Muaz.

"Tapi... pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan."

"Kalau dalam seminggu dua ni abah, memang rasanya tak dapat.  Paling tidak pun cukup bulan ni.  Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan," jawab Muaz serba salah.

"Kau beli rumah lagi?., Rumah yang ada tu kau nak buat apa?" tanya Pak Uwei melindungi kekecewaannya.

"Rumah baru tu besar sikit, abah.  Selesalah buat kami sebab budak- budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi abah, pelaburan masa depan juga," sampuk Mira isteri Muaz.

Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. "Kamu macam mana Kis, boleh tolong abah? Nanti abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki durian berbuah kat dusun kita tu nanti," Pak Uwei berpaling Pada Balkis.

"Kis pun rasanya tak dapat nak tolong abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah... ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi."

Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.

"Man bukan tak nak tolong abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh.
Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman."

 "Betul kata Man tu abah.  Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok," sokong Muaz.  Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uwei.  Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan
menghampakannya.

"Tak apalah kalau kau orang tak ada duit.  Biarlah abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki mak pula pergi," Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.

"Kalau nak pergi sendiri, dah lama saya pergi Pah!. Tak payah saya tunggu lama-lama.  Kalau awak tak pergi biarlah kita sama-sama tak pergi... dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?" Pak Uwei bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.


Intan tahu abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya tapi Intan faham kecewa abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu.

"Anak awak tu tak balik ke?" tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama abang dan kakaknya.

"Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti," balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya.

"Nak ke mana pulak tu?" tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap.

"Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya Intan, kuih lepat ubi kegemarannya."  Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebut anaknya.  Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak.

Pagi Isnin tu selepas bersarapan Intan bersiap-siap hendak keluar.

"Nak ke mana Intan pagi-pagi lagi dah bersiap ni?"

"Intan ada hal sikit kat bandar mak.  Intan pergi dulu ye."

"Kalau nak ke bandar suruhlah abah kau tu hantarkan," suruh Mak Pah.

"Tak payahlah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni.  Nanti bising pula abah tu.  Intan pergi dulu."sambil mencium tangan Mak Pah yang menggeleng kepala memerhatikan Intan berlalu pergi.

Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati, membuat anaknya itu menyisihkan diri.

Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.

"Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama.  Ni abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api."

"Ingat lagi abah lauk kegemaran Intan rupanya," usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan.

"Mak bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak," jawab Pak Uwei sinis.
Intan tersenyum pahit. Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor kemudian dia mendapatkan mak
dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.

"Mak, abah... Intan ada hal sikit nak cakap ni... ," ujar Intan
menghampiri mereka.  Pak Uwei menurunkan suratkhabar
yang dipegangnya kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.

"Apa hal... kamu nak kahwin ke?" soal Pak Uwei merenung Intan.  Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya.

Melihat Intan tergelak besar Pak Uwei turut tertawa.  Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang
hilang dulu mula menyatu. "Abah ni... ke situ pulak...."

"Habis tu?"

"Ini... Buku Tabung Haji mak.  Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ni, resit memasukkan duit ke akaun mak.  Semuanya Intan dah uruskan.  Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek mak dan abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti." Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei.

"Apa??" Pak Uwei terkejut matanya merenung Intan dan duit di tangannya bagai tidak percaya.

"Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu.  Duit hasil titik peluh Intan yang halal abah, terimalah.  Selama ini Intan banyak kali kecewakan abah.  Intan tak pernah dapat membahagiakan hati abah.  Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada abang Az dan Kak Balkis.  Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka.  Intan tahu abah selalu kecewa dengan Intan.  Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat abah.  Dah banyak kali abah tangguhkan hasrat nak naik haji.  Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pula tak sihat.  Sekarang ni masa yang sesuai.  Intan harap, abah sudi terima pemberian yang tak seberapa ini dari Intan," tutur Intan perlahan memerhatikan airmata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.

"Terima kasih Intan. Malu rasanya abah nak ambil duit kamu... dulu abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi tapi akhirnya anak abah yang kerja kilang yang membantu abah," luah Pak Uwei sambil mengesat airmata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini
dimusuhinya.

"Sudahlah abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira abah sudi terima pemberian Intan."

"Pemberian kau ni terlalu bernilai bagi abah dan mak kau Intan..."ujar Pak Uwei.  Intan peluk abahnya erat.

"Hah... tulah, jangan suka memperkecil- kecilkan anak saya ni," Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil mengesat airmata penuh kesyukuran.

"Mak ni... ," gelak Intan memandang abahnya yang tersengih.

Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah.  Intan memerhati dengan perasaan gembiran bercampur hiba.

"Semua dah siap ke mak?" tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.

"Dah rasanya... ada apa-apa yang Intan nak pesan mak belikan di sana nanti?"

"Tak ada mak.  Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli mak.  Yang penting mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna."

"Hah, awak dengar tu... kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli-belah, " tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua-beranak itu.

"Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana . Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat," pesan Intan sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan.  Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu.


............ ......... ......... .......
Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati.  Perasaan rindu pada anak-anak terutama Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di tanah
suci.  Intan tidak berkata sepatah pun tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh.

"Kenapa resah aje ni, bang?" Mak Pah terjaga.

"Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita."

"Sabarlah, dah nak sampai dah ni," pujuk Mak Pah.

Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.

"Mak... abah... ," Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan airmata menitis laju.

"Mana yang lain ni, kamu berdua aje?" Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan.

"Mereka menanti di rumah, abah," beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei. "Intan pun tak datang juga ke?" Tanya Pak Uwei terasa hampa.

"Awak ni... kan Man dah kata mereka menunggu di rumah." Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ini nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya.  Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei.  Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena.

"Dua tiga malam sebelum balik, abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan.  Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati." cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz diam sambil mengerling Azman yang sedang memandu.

"Tentulah abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit," balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu.

"Tapi, abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi abah tu, abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh.  Tapi dia tak bercakap pun hanya renung abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?"

"Err... tak ada abah.  Kita berhenti minum dulu abah, tentu mak haus," ajak Azman menukar tajuk perbualan.

"Tak payah, dah dekat ni.  Abah tak sabar nak balik," tolak Pak Uwei.

Azman dan Muaz hanya berpandangan.  Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan.  Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu.  Semua yang ada menitiskan air mata.

"Mak dengan abah sihat ke?" tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.

"Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit.  Intan mana, dia tak balik ke?" Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan.

"Naik dulu Ngahnya...," suruh Long Semah.

"Intan mana?" Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan.  Pantas dia memanjat tanggu menuju bilik Intan.  Matanya terpaku pada bekas bara yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar.

"Az... mana Intan?  Mana adik kau Az?" tanya Pak Uwei dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.

"Sabar abah... ," Muaz menggosok belakang abahnya.

" Kenapa Az ... kenapa?" Mak Pah menurunkan Syazwan cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan.

"Mak... Intan dah tak ada mak," Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah.  Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan.  Bila dia terjaga dia melihat anak menantu mengelilingnya. Pak Uwei duduk di tepi kepalanya.

"Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita.  Intan pergi pun dalam keadaan tenang.  Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai," pujuk Long Semah yang masih belum pulang.

"Intan ada tinggalkan surat untuk kita.  Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama.  Rupa-rupanya dia menghidap barah otak.  Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya.  Dia minta kita doakan dia," Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah.

"Bila dia meninggal?  Siapa yang mengadap masa nazaknya?" tanya Mak Pah tersedu sedan.

"Kami semua ada mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya mak.



Sebenarnya dia yang ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah sebelum mak dan abah balik.  Masa sampai tu dia sihat lagi tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isya` dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun.  Az nak hantar ke hospital tapi katanya masa dia dah tiba.



Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya.  Dia meninggal subuh hari Jumaat mak... tiga hari lepas.  Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak," cerita Muaz.

Mak Pah mengenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka.  Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan,"Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana .  Hanya satu yang Intan mahu, mak dan abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat.."

~~ Tamat ~~





Moral cerita ... buat baik dan berbaktilah kepada kedua ibu bapa sementara mereka masih ada di dunia ini. Harta benda hanyalah sementara berbanding amalan yg kita lakukan selagi tubuh badan kita bernyawa. Renung-renungkan....